PENDAHULUAN
Falsafah Islam merupakan satu bidang kajian yang membincangkan falsafah dari aspek tokoh-tokoh Islam itu sendiri. Secara umumnya, falsafah tela hwujud pada zaman Greek lagi, namun atas inisiatif ahli falsafah Islam, ilmu falsafah telah diselaraskan supaya dapat dimanfaatkan sesuai dengan hukum dan syariat Islam. Perbahasan tentang falsafah Islam biasanya berkisar kepada masalah asas dalam epistemologi iaitu sumber wahyu dan akal. Sejak dari dulu lagi persoalan-persoalan tentang dua sumber inilah yang terus-menerus dipersoalkan sehingga timbul beberapa aliran dan mazhab dalam pemikiran Islam. Namun, perkembangan falsafah Islam menjadi semakin matang dan menluas melalui penterjemahan karya-karya dari falsafah Yunani ke dalam pemikiran Islam. Oleh itu, lahirlah ramai tokoh ahli falsafah Islam yang terkemuka seperti Al-Kindi, Al-Farabi, Ibnu Sina dan IbnRushd.
Sejak pemerintahan Abbasiyah
dipegang oleh al-Mutawakkil (232-247 H), cara pemikiran Mu’tazily (cara
pemikiran yang rasional dalam mencari pengetahuan dan kebenaran) dan buku-buku
yang berunsur Mu’tazilah serta ilmu-ilmu sekular mula disingkirkan. Sementara
itu kepercayaan tradisional mula menguasai minda masyarakat Islam.Ahli falsafah
dituduh sebagai penganut bid’ah. Agama menjadi beku kerana tokoh-tokohnya yang
jumud dan fanatisme.
Pada masa ini muncullah sekelompok orang yang ingin
menghidupkan kembali ilmu pengetahuan dengan mempelajari semua cabang ilmu pengetahuan,
baik yang berasal dari negara Islam mahupun ilmu-ilmu yang datang dari luar
seperti India, Yunani dan Romawi.Akibat tiada kebebasan berfikir dan
menyuarakan pendapat pada masa itu, maka kelompok yang akhirnya dikenal dengan
nama Ikhwan al-Safa ini menjadi gerakan bawah tanah. Mereka berkumpul, bertukar
fikiran (mudzakarah) secara rahsia. Bahkan nama juga dirahsiakan untuk
mengelakkan diri dari gangguan pihak penguasa.
Ikhwan al-Safa memberikan fokus pemerhatiannya pada bidang
dakwah dan pendidikan. Organisasi ini juga mengajar tentang dasar-dasar Islam
yang berasaskan persaudaraan Islamiyah (ukhwah Islamiyah), iaitu sikap
yang memandang iman seseorang muslim tidak akan sempurna kecuali ia mencintai
saudaranya sepertimana ia mencintai dirinya sendiri.
1.0 LATAR
BELAKANG
Lahirnya
kumpulan falsafah ini disebabkan oleh keadaan Islam pada ketika itu. Sejak
penghapusan teologi rasional Mu’tazilah sebagai mazhab negara oleh
al-Mutawakkil, maka kaum rasionalis dibuang dari jabatan pemerintahan, kemudian
diusir dari Kota Baghdad. Kemudian, pemerintah melarang proses pengajaran
kesusasteraan, ilmu, dan falsafah.
Keadaan
ini terus berlanjutan pada khalifah-khalifah yang berikutnya.Hal ini
menimbulkan peningkatan cara berfikir secara
tradisional dan mundurnya keberanian berfikir secara rasional. Pada
sudut lain, berjangkit gaya hidup mewah di kalangan pembesar negara. Maka,
masing-masing berusaha mendekati khalifah untuk menanam pengaruh masing-masing
sehingga timbul persaingan yang tidak sihat yang kemudiannya mendorong timbulnya masalah moral.Oleh itu lahirlah
Ikhwan Al-Safa’ yang ingin menyelamatkan masyarakat dan mendekatkannya pada
jalan yang diredhai Allah. Menurut mereka (Ikhwan al-Safa’) syariat telah
dicampur adukkan dengan bermacam-macam kejahilan dan kesesatan. Satu-satunya
jalan untuk membersihkannya adalah dengan falsafah.
Ikhwan
al-Safa adalah kumpulan para mujtahidin dalam bidang falsafah yang banyak
memfokuskan perhatiannya dalam bidang dakwah dan pendidikan.Kumpulan ini
berkembang pada abad ke dua Hijrah di kota Basrah Iraq. Ikhwan Al-Safa
(Brethren of Purity atau The Pure Brethen) adalah nama sekelompok pemikir
Muslim rahsia (filosofi-religius) berasal dari fahaman Syiah Ismailiyyah yang
lahir di tengah-tengah komuniti Sunni sekitar abad ke-4 H/ 10M di Basrah.Nama
penuh kumpulan ini ialah Ikhwan al-Safa wa Khullan al-Wafa’ wa Ahl al-Hamd wa
Abna’ al-Majd, diambil sempena satu watak dalam buku yang sangat mereka
sanjungi, iaitu al-Kalilah wa al-Dimnah.
Ikhwan al-safa juga adalah satu kumpulan
rahsia yang bergerak dalam bidang ilmu pengetahuan,walaupun kadang-kadang
kumpuan ini seakan-akan menununjukkan kecenderungan dalam politik,sehingga ada
sesetengah pihak yang beranggapan bahawa ia merupakan salah satu permainan kaum
syiah.Namun,pendapat ini kurang jelas,kerana kumpulan ini tidak bersetuju
dengan dasar yang fundamental dari ajaran syiah iaitu adanya iman yang
tersembunyi.Oleh yang demikian,Ikhwan al-safa mempunyai pendapat ilmiah yang
tersendiri dalam bidang politik,di mana mereka lebih cenderung kepada pendapat
Plato yang mengatakan bahawa orang yang lebih berhak memegang tampuk
pemerintahan ialah para ahli fikir (ahli falsafah).
Sesuai dengan namanya,”Ikhwan al-safa”,asas
berdirinya kumpulan ini ialah persaudaraan yang dijalinkan secara tulus ikhlas,
semangat setiakawan yang suci serta sikap saling menasihati antara sesama ahli
untuk mendapat redha Ilahi. Oleh sebab itulah di dalam risalah yang mereka
kumpulkan,para penulis selalu memulakan nasihatnya dengan kalimah”Ya ayyuhal
akh!”(Hai saudara!) atau “Ya ayyuhal akh al-fadhil!”(Wahai saudara ku yang
budiman!).Ini menunjukkan tanda setiakawan sesama anggota.
Antara tokoh dan pemikir kepada Ikhwan
al-safa ialah:
1)Abu Sulaiman Muhammad al-Busti 2)Abu Hasan Ali 3)Abu Ahmad al-Mahrajani 4)Al-Faudi
5)Zaid bin Rif’ah
Untuk mengembangkan organisasi ini,mereka
mempunyai cara yang tersendiri untuk menambah anggota kumpulan ini.Mereka
mengutus beberapa orang utusan ke setiap pelosok untuk mencari orang-orang yang
layak untuk dipilih sebagai anggota.Fokus mereka adalah di kalangan pemuda
kerana di tangan pemudalah organisasi ini boleh berkembang dengan pesat kerana
golongan inilah yang masih mempunyai daya dalam perkembangan organisasi dari
satu generasi ke satu generasi.
Kumpulan
ini dibahagikan kepada 4 kategori:
1. Ikhwan
al-Abrar al-Ruhama’. Peringkat umur 15-30 tahun yang wajib mematuhi segala
suruhan guru.
2. Ikhwan
al-Akhyar wa al-Fudhla.’ Peringkat usia 30-40 tahun yang dikenali sebagai al-
Ihkwan al-Akhyar yang mampu menjaga persaudaraan dan kasih sayang.
3. Ikhwan
al-Fudhala’ al-Kiram. Peringkat umur 40-50 tahun yang dinamakan al-Ikhwan
al-Fudhala al-Kiram, mereka yang menerima wahyu dan mencapai tahap kenabian.
4.
Al-Kamal. Peringkat usia 50 tahun, mereka di gelarkan golongan Muqarrabun yang
memahami hakikat dan makrifah serta mencapai taraf malaikat .
2.0 KARYA
IKHWAN AL-SAFA(RASA’IL)
2.1 Identiti kitab
Rasa’il
telah menonjolkan banyak titik-titik pertentangan dan telah menjadi bahan
perbalahan sama ada dalam kalangan
Muslimin sendiri dan para sarjana Barat. Walaubagaimanapun,penulis,tempat dan
tarikh penulisannya,penyebaran isinya,sifat atau ciri persaudaraan rahsia ini
terus menjadi persoalan.
Ibn
al-Qifti dalam kitabnya Akhbar al-hukama’ menyatakan bahawa menurutAbuHayyanal-Tahwidi,penulisRasa’il ialah :
1)Abu
Sulaiman Muhammad ibn Ma’shar al-Basti
2)Abu’l-Hasan
‘Ali ibn Harun Zanjan
3)Abu Ahmad al-Mihrjani
4)Awfi
5)Zaid ibn al-Rifa’i
Ibn al-Qifti memberikan pandangannya dan
beranggapan Ikhwan sebagai pengikut mazhab pemikiran Mu’tazilah yang sangat
rasionalistik dalam pendekatan mereka.Manakala Ibn Taimiyah,seorang faqih Hanbali
pula memberi pandangan dengan menghubungkan Ikhwan dengan golongan Nusairis
yang boleh dikatakan paling jauh dari aliran pemikiran Islamyang lain.
Minat yang
mendalam terhadap Rasa’il dalam pengkaji Barat terserlah pada abad ke-19 dengan
penterjemahan ke atas Rasa’il yang dibuat oleh Dr.Dieterici dengan gaya yang
bebas dan tidak teratur dalam satu jangka masa yang panjang iaitu kira-kira 30
tahun. Satu lagi kajian awal dalam kalangan sarjana Eropah dibuat oleh G.Flugel
yang menekankan tentang ciri rasionalistik dan sifat Mu’tazilah yang terdapat
dalam Rasa’il. Pandangan Flugel mendapat sokongan daripada para sarjana abad
ke-20 seperti E.G.Browne dan R.A.Nicholson, sementara Miguel Asin Palacios
menganggap karya ini sebagai campuran diantara inspirasi Mu’tazilah dan Syiah.
Semua
pengkaji bersetuju bahawa Rasa’il telah ditulis oleh Ikhwan al-Safa. Matlamat
Ikhwan bukanlah sekadar mengumpul fakta-fakta atau keinginan untuk membentuk
kumpulan sendiri berdasarkan falsafah tertentu, sebaliknya tujuan mereka adalah
untuk pendidikan dan pengasuhan. Bahkan pada hampir setiap bab dalam Rasa’il
akan memperingatkan pembaca bahawa di dunia ini tidak lebih daripada seorang
yang terpenjara,dan melalui ilmu ia harus membebaskan dirinya daripada penjara
dunia itu.
2.2 Sumber
Rasail
Memang jelas bahawa Rasa’il mendapatkan
bahannya daripada sumber-sumber aliran Pithagoras dan aliran Jabir terutama
sekali dari aspek kosmologikal.Ikhwan mendakwa berkali-kali bahawa mereka
adalah pengikut tradisi Phytagoras dan Nicomachus malah,mereka mengenali
Phytagoras sebagai tokoh daripada kalangan orang Harran dan mempunyai ikatan
perhubungan yang sangat erat.
Kumpulan
penulisan Jabir mengandungi banyak unsur daripada sumber Phytagoras dan Hermetik,dan
juga idea daripada Parsi, India, malah dari China. Hubungan yang erat antara
Rasa’il dengan kumpulan penulisan Jabir tentu sekali menjadikan sumber Jabir
sumber Ikhwan juga.Malah isi Rasa’il juga menunjukkan bahawa sumbernya tidak
berlainan daripada sumber kumpulan karya
Jabir.Pengaruh al-Quran juga menyerapi
seluruh perspektif Ikhwan. Mereka mentafsirkan bahagian tertentu bagi
kosmologi purba bersesuaian dengan peristilahan al-Quran tentang kursi dan
arasy dan membuat rujukan kepada angelologi yang berdasarkan al-Quran.
Sumber
Ikhwan tidak perlu dianggap berdasarkan teks histori semata-mata.mereka sendiri
memaklumkan bahawa sumber mereka termasuklah wahyu dan alam tabii sebagai
tambahan kepada teks bertulis.Terdapat empat kitab yang didapati ilmu
mereka,iaitu hasil karya saintifik dan matematik yang ditulis sebelum mereka, kitab
yang diwahyukan, idea platonik yang terbentuk di Alam tabii, dan ilham
kemalaikatan yang dikenali kini dengan istilah intuisi intelek.
2.3 Falsafah Ikhwan Al-Safa
Majoriti golongan sarjana percaya
bahawa matlamat Ikhwan Al-Safa yang utama adalah untuk menggabungkan antara
agama dan falsafah biarpun terdapat segelintir golongan ini bertanggapan bahawa tujuan Ikhwan adalah mengubah situasi
politik semasa dengan mengasaskan satu sistem falsafah yang mampu menjadi asas
kepada kehidupan.Rumusan daripada Seyyed Hossein Nasr yang
diterjemah oleh Baharuddin (2008: 15) mengungkapkan bahawa Ikhwan menetapkan
kemurniaan falsafah sebagai satu jalan bagi memperoleh Hakikat Kebenaran dan
kehendak mereka untuk menggabungkan bidang ini dengan perundangan Ilahi atau
perundangan universal yang diturunkan
melalui para nabi.
“Sedapat-dapatnya
di antara manusia dengan Tuhan” merupakan falsafah Ikhwan yang mana ia sebagai
cara atau alat atau jalan yang mendekatkan semula golongan elit dalam kalangan
manusia atau malaikat di muka bumi ini kepada Tuhan Yang Maha Tinggi.Keutamaanya
ialah “mencapai nilai tertentu bangsa manusia, sesuatu yang membawa kepada
kesedaran kembali kesemu ilmu-ilmu yang terkandung pada manusia asalnya.Melalui
falsafah manusia menyedari sifat-sifat murni yang menjadi perwatakan
bangsanya.Dengan pencapaian itu manusia mencapai kemanusiaan yang sebenar dan
maju ke atas melintasi hierarki kewujudan sehingga melintasi jalan yang lurus
dan titian yang benar lalu ia menjadi malaikat...”. Seyyed Hossein Nasr yang
diterjemah oleh Baharuddin (2008:16)
Pandangan
yang jelas oleh Ikhwan terhadap perhubungan falsafah dengan Islam ialah
penyamaan yang dibuat antara falsafah dengan iman aspek dalaman Islam.Hal ini
demikian kerana, menurut mereka iman ialah “khidmat Ilahi golongan ahli
falsafah”.Perbezaan ini merupakan persamaan dengan pembahagian yang ditetapkan
oleh golongan sufi mengenai Islam, islam dan ihsan sebagai tiga peringkat
Tradisi Islam yang mana iman dan ihsan bukan sahaja kepercayaan biasa
sebaliknya ia merupakan hikmah dan irfan (makrifah).
Walau
bagaimanapun, tetap wujud perbezaan antara dua golongan ini apabila semua
amalan iman dan ihsan ahli Sufi akan dikaitkan terus dengan wahyu yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad manakala
doa yang ditunjukkan oleh Ikhwan pula menjurus kepada amalan agama warisan Nabi
Idris yang terdiri daripada golongan Harran sebagai pewaris utama warisan di
Timur Tengah yang dikenali sebagai
‘Aliran Pithagorian Timur’ yang juga pemelihara dan pendakwah bagi
fahaman Hermeticisme di dunia Islam.
Doa-doa
bersifat falsafah ini dilakukan sebanyak tiga kali dalam satu bulan pada waktu
malam iaitu permulaan bulan, pertengahan bulan dan antara 25 hari bulan dengan
akhir bulan.Terdapat juga pesta kefalsafahan dalam setahun.Ikhwan
menghubungkaitkan pesta besar ini dengan sambutan ‘id-al-fitr pada penghujung
bulan Ramadhan, id al-adha disambut pada 10 Zulhijah dan ‘id al-ghadir pada 18 hari bulan pada
bulan yang sama iaitu tarikh pengukuhan ‘Ali ibn Abi Talib oleh Nabi Muhammad
sebagai penggantinya di Ghadir Khumm.Bagi musim sejuk pula, terdapat hari
berpuasa berpanjangan sebagai lambang kepada ‘tujuh orang yang tidur di dalam
gua’.
Oleh hal yang
demikian, hubungan falsafah, doa dan hikmah melabelkan Ikhwan tergolong dalam
aliran warisan Hermeticisme atau Neo-Pythagoreanism.Walaupun hubungan ketiga-tiga
komponen ini dilihat agak kabur, namun dari sudut doktrin adalah lebih
munasabah dan masuk akal berbanding dengan teori bahawa Ikhwan hanya mengambil
falsafah secara “teori” dan “ilmiah” serta menggabungkannya dengan syariat
tanpa kemampuan untuk bersikap ikhlas kepada salah satu atau kedua-duanya.
2.3.1 Ilmu Angka
Ilmu nombor
atau ilmu angka (‘ilm al-‘adad) dianggap oleh Ikhwan sebagai suatu cara
yang membawa kepada penggarapan terhadap kesatuan, sebagai satu lmu yang lebih
tinggi kedudukannya berbanding dengan alam tabii dan menjadi prinsip kepada kewujudan serta akar bagi segala ilmu
lainnya, aliksir pertama dan alkimia yang paling tinggi. Seyyed Hossein Nasr
yang diterjemah oleh Baharuddin (2008:33)
Ikhwan
menyatakan tentang keutamaan aritmetik dalam Quadrivium mengenai makna
nombor atau angka dan hubungannya dengan alam tabii :
Segala yang
secara tabiinya dan dengan kaedah yang sistematik diatur di alam sejagat sama
ada bahagian-bahagiannya atau keseluruhannya adalah ditetapkan dan diperintah
menuruti nombor atau angka melalui bayangan asal dan idea Pencipta, yang
mencipta semua benda: kerana bentuknya telah ditentukan ibarat sketsa awal
dengan kekuasaan nombor sedia terbayang di dalam fikiran Tuhan yang mencipta
seluruh alam iaitu nombor yang bersifat konseptual semat-mata dan bukan benda
daripada segi apa pun, supaya dengan rujukan kepadanya, sebagaimana juga
perancangan berseni itu, terjadi segala semua benda, masa,gerak, langit,
bintang-bintang dan segal pengolahan dan pertumbuhan. Seyyed
Hossein Nasr yang diterjemah oleh Baharuddin (2008:37)
Dalam dunia
Islam, para aliran pemikiran sepenuhnya menggunakan angka dan kualitatif aliran
Phythagoras sebagai asas kepada keseimbangan.Aspek “dua muka” dalam matematik
iaitu kualitatif dan kuantitatif menjadi jambatan yang dengannya seseorang itu
boleh mengembara daripda alam kuantitatif kepada alam mithal. Oleh hal
yang demikian, Ikhwan sering mengaitkan hubungan tuhan dengan alam atau
hubungan metafizikal antara al-wujud dengan kejadian ibarat hubungan angka satu
dengan angka lain.
Tegasnya, teori nombor dalam pandangan Ikhwan
Al-Safa’ adalah hikmah Illahi dan mengatasi perkara lain. Semua benda dijadikan
menurut acuan kewujudan nombor. Seyyed Hossein Nasr yang diterjemah oleh
Baharuddin (2008:34). Tidak dinafikan apabila Ikhwan begitu mengaitkan angka
dengan segala sesuatu yang berlaku di alam ini kerana Ikhwan mempunyai hubungan
yang rapat bahkan menjadi pengikut Phythagoras yang banyak terlibat dalam
matematik.
Walau
bagaimanapun, tidak semua perkara yang berlaku itu boleh dikaitkan dengan angka
kerana pembuktian segala sesuatu itu hendaklah berdasarkan bukti yang jelas
atau mantiq (logik) yang boleh diterima akal manusia atau madaik
al-‘uqul seperti fenomena berlakunya kejadian hujan akibat pengumpulan air
yang banyak dalam awan.
Ilmu angka
ini turut tidak dipersetujui dan disanggah oleh Al-Ghazali yang mengatakan
“Adapun matematik, ia melihat dari sisi al-kamm al-munfasil (kualiti
yang tidak mengalami perubahan sebagaimana dilambangkan dengan
bilangna-bilangan asli ). Maka yang demikian itu tidak memiliki korelasi dengan
masalah ketuhanan”(Dr.M.Fahmi Muqoddas 2004: 24)
2.3.2 Sfera
dan Unsur
Ikhwan
Al-Safa dan para ahli kosmologi Abad Pertengahan meletakkan bumi di tengah alam
semesta dengan bulan, matahari dan planet-planet berputar disekelilingnya.
Dilangit terdapat pergerakan bulatan,
bentuk bulat yang sempurna serta pergerakan bercantum dengan jirim bagi
meweujudkan jauhar atau inti pati yang menghasilkan langit. Ikhwan
mendefinisikan jawhar yang mempunyai sifat “pada satu pihak jisim langit
tidak menerima sebarang pertumbuhan atau pemusnahan, ia tidak menerima
perubahan, transformasi, penambahan, atau pengurangan, dan pada satu pihak yang
lain pula pergerakannya adalah sempurna dengan itu, bulat”. Seyyed Hossein Nasr
yang diterjemah oleh Baharuddin (2008:54).
“Inti pati ” ataupun “unsur kelima”
Ikhwan adalah berbeza dengan ether yang dipercayai oleh Aristotle dan
Ibn Sina. Menurut falsafah Aristotle dan Ibn Sina, kosmos terbahagi kepada dua
bahagian yang tepat iaitu bahagian sublunar yang terjadi daripada empat unsur
serta bahagian langit yang terjadi daripada ether dan tidak mempunyai
walaupun satu daripada empat sifar yang asasi iaitu panas, sejuk, basah dan
kering. Berbeza dengan Ikhwan yang mengatakan bahawa kosmos merupakan satu inti
pati yang mempunyai empat sifat tadi. Secara jelasnya, unsur yang dimaksudkan
Ikhwan adalah empat unsur yang dimaksudkan oleh Aristotle dan Empedocles tadi
iaitu api, angin, air dan tanah masing-masing mempunyai sepasang sifat panas, sejuk, kekeringan dan kelembapan.
Mereka merujuk kepada sfera unsur
atau ustuqus yang berasal dari istilah Yunani iaitu stoichos yang
bermaksud asas atau dasar. Hal ini demikian kerana unsur adalah asas daripada
mana-mana makhluk di bumi ini mendapat kewujudan. Unsur sebenarnya
bahagian-bahagian yang membentuk alam galian, alam tumbuh-tumbuhan dan alam
haiwan. Ia tidak dapat bertindak dengan sendirinya sebaliknya sentiasa tunduk
dan pasif kepada kuasa tabii yang bertindak ke atas keempat-empat unsur ini
tidak kira dari atas atau bawah.
RUMUSAN
Ikhwan al-Shafa merupakan organisasi Islam
rahsia yang telah berhasil menghimpunkan pemikiran-pemikiran mereka dalam
sebuah ensiklopedia, Rasail Ikhwan al-Safa. Melalui karya ini, jejak-jejak
ajaran mereka dapat diperoleh sama ada tentang ilmu pengetahuan, falsafah dan
agama. Ikhwan al-Safa juga telah menjadi sebahagian daripada kajian falsafah
pendidikan Islam, falsafah Islam, bahkan turut terlibat dalam penafsiran al-Qur’an
Esotoris.
Sebagai rumusannya, Ikhwan al-Safa merupakan
satu kumpulan yang terdiri daripada ahli falsafah Islam yang berjuang untuk
mengharmonikan suasana pada zaman tersebut. Usaha mereka untuk mengharmonikan
antara agama dan falsafah dianggap satu usaha yang berani tatkala banyak pihak
menentang mereka.Hal ini demikian kerana banyak pemikiran dan falsafah
beliau diambil daripada Aristotle dan
Plato serta ramai lagi ahli falsafah Greek. Perkara ini secara tidak langsung menyebabkan
Ikhwan al-Safa menggunakan unsur Gnostisisme yang jelas dianggap Imam
al-Ghazali sebagai ilmu yang sesat. Namun begitu, sejarah telah membuktikan
bahawa Ikhwan al-Safa telah berjaya membawa impak yang besar dalam dunia
falsafah Islam.